Kerana kita adalah satu by Guy Ghazali

Mengapa kau masih di sini membungkam
Berpegang teguh pada semalam
Bermandikan bunga-bunga sejarah
Bernafaskan kegemilangan usang yang bersepah

Mengapa kau masih di sini
Mengaku berlari tapi bertatih
Ingin memimpin tapi terpimpin
Meraung melalak untuk dipimpin
Aibkah sekiranya dituntun
Supaya celik setelah rabun

Mengapa kau masih di sini
Menuding jari pada mereka yang mencalit sejarah
Yang haloba, tersasar dan nista
Mengapa kau biarkan palitan
Terus-terusan membanjiri fikrah
Menghambat langkah

Mengapa kau terus bertapak
Manggadai bangsa kerana hak
Hinakah mereka sehingga kau tergamak mencipta jarak
Membuang sauh berlari jauh
Takut bersila seperti mereka
Yang karam bersama semalam

Mengapakah wujud cacamerba
Sedangkan kita adalah harapan bangsa
Setajam cakera sehebat panah
Bisa menggapai dunia mencecah angkasa
Esok adalah milik kita bersama
Kau adalah aku
Dan kita adalah satu
Berpadu ampuh, berkecai lumpuh
Bersatu teguh, bercerai roboh


0♥


------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------